Perceraian Pasangan Islam
Perceraian pasangan Islam boleh berlaku melalui dua keadaan, iaitu: Dalam mahkamah: Lafaz cerai dilakukan di hadapan hakim Mahkamah Syariah Luar mahkamah: Lafaz cerai yang berlaku tanpa kehadiran hakim atau di tempat selain mahkamah. Lafaz cerai ini perlu dilaporkan dan disahkan semula oleh Mahkamah Syariah. Berikut adalah prosedur perceraian bagi pasangan Islam di Malaysia. Rundingan dan kaunseling Pasangan yang ingin bercerai digalakkan menjalani sesi kaunseling terlebih dahulu di pejabat agama Islam negeri. Tujuan: Menyelesaikan konflik secara damai sebelum prosedur melibatkan mahkamah. Bagi pemohon yang menetap di negeri-negeri yang tidak menggunakan sistem SPPIM, anda boleh merujuk kepada portal jabatan agama islam negeri masing-masing. Fail permohonan cerai di Mahkamah Syariah Jika rundingan gagal, salah satu pihak boleh memfailkan: Permohonan Perceraian (Talak) Permohonan Cerai secara Taklik Permohonan Fasakh Permohonan Cerai Tebus Talak (Khuluk) Perbicaraan di Mahkamah Syariah Pemohon hendaklah mengikuti perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah sehingga selesai. Lafaz talak Setiap pasangan yang ingin bercerai digalakkan untuk melakukan prosedur lafaz talak tersebut di hadapan mahkamah untuk mengelakkan denda atau penalti. Namun, sekiranya lafaz talak telah berlaku di luar mahkamah, ianya perlu segera dilaporkan (dalam tempoh 7 hari) untuk mengelakkan denda dan penalti serta untuk mendapat pengesahan oleh Mahkamah Syariah. Pengesahan cerai Setelah talak dilafazkan dan disahkan, mahkamah akan mengeluarkan perintah perceraian. Sijil cerai akan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri. Tempoh ‘iddah Isteri perlu menjalani ‘iddah dan tidak boleh berkahwin lain semasa dalam tempoh ‘iddah.
Langkah-langkah pendaftaran kes di Mahkamah Syariah (secara umum) Tertakluk di bawah Undang-Undang Keluarga di negeri masing-masing. Kenalpasti jenis kes Contoh: Permohonan perceraian, nafkah, hak jagaan anak, pengesahan nikah, mutaah dll. Setiap jenis kes mempunyai borang dan dokumen sokongan tersendiri. Contoh permohonan cerai: Permohonan cerai oleh isteri Permohonan taklik Pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah Contoh permohonan nafkah: Tuntutan tunggakan nafkah semasa perkahwinan Tuntuan nafkah selepas perceraian Tuntutan nafkah anak Dapatkan borang dan lengkapkan dokumen Borang boleh diperoleh di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah negeri masing-masing atau dimuat turun dari laman web Mahkamah Syariah negeri. Semasa permohonan borang, pihak mahkamah akan menyemak sekiranya terdapat sebarang permohonan yang sama bagi mengelakkan pertindihan permohonan. Serahan dokumen di kaunter pendaftaran Pemohon perlu hadir ke Mahkamah Syariah daerah/negeri yang berkaitan utk serahan dokumen. Bayaran fi pendaftaran akan dikenakan (jumlah berbeza mengikut jenis kes dan negeri). Terima tarikh sebutan kes Selepas permohonan lengkap, pihak mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan kes. Sekiranya perlu, permohonan akan dibawa ke Majlis Sulh (perdamaian) tanpa perlu perbicaraan di mahkamah. Sistem e-Syariah Versi 3 (e-Syariah V3) Sistem ini merupakan platform utama yang menyelaras pengurusan kes syariah di seluruh negara dan digunakan semua negeri kecuali negeri Sarawak. Melalui e-Syariah V3, pengguna boleh: Membuat permohonan janji temu Menyemak status kes dan tarikh perbicaraan
Bagi kes-kes sivil berkaitan perceraian yang tidak melibatkan Mahkamah Syariah, pasangan Islam atau bukan Islam boleh memohon bantuan guaman menerusi Jabatan Bantuan Guaman (JBG). Perkhidmatan yang ditawarkan JBG berkaitan perceraian: Khidmat nasihat guaman JBG menyediakan nasihat guaman kepada semua warganegara Malaysia dengan fi pendaftaran yang berpatutan Bantuan guaman JBG menyediakan bantuan guaman termasuk tuntutan nafkah, penguatkuasaan perintah nafkah, tuntutan cerai, hak penjagaan anak dan harta sepencarian Khidmat pengantaraan JBG menyediakan perkhidmatan pengantaraan bagi menyelesaikan pertikaian secara damai dan sukarela dengan bantuan pengantara Terdapat fi dan syarat kelayakan untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman berkaitan kes perceraian di atas.
Proses mendaftar perceraian Islam adalah berbeza mengikut negeri. Pendaftaran perceraian hanya boleh dilakukan selepas perceraian disahkan oleh Mahkamah Syariah . Berikut adalah proses mendaftar perceraian pasangan Islam. Daftar di Jabatan Agama Islam Negeri Setelah mendapat Perintah Cerai dari Mahkamah Syariah, pihak yang bercerai perlu ke Jabatan Agama Islam Negeri untuk: Mendaftarkan perceraian secara rasmi Mendapatkan sijil perceraian Islam (asal dan salinan) Membatalkan sijil perkahwinan asal Anda juga boleh membuat pendaftaran secara dalam talian atau hadir terus ke pejabat agama daerah bagi negeri yang tidak mempunyai sistem dalam talian. Pemohon yang telah kematian pasangan (cerai mati) perlu mendaftarkan status perkahwinan tersebut di pejabat agama.
Bagi pasangan yang telah bercerai terutamanya golongan wanita, terdapat bantuan sokongan yang diberikan oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK). Fungsi utama bahagian ini adalah menguatkuasakan perintah mahkamah berkaitan nafkah. Perkhidmatan yang disediakan: Tuntutan nafkah tertunggak Penguatkuasaan perintah nafkah (cth: potongan gaji suami) Khidmat guaman syarie percuma bagi kes berkaitan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah. Menyediakan bantuan kewangan sementara menanti kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di Mahkamah Syariah selesai BSK Transit (perluasan) iaitu tuntutan kos penginapan, makan minum dan pengangkutan bagi pelanggan yang menghadiri kes yang dikendalikan oleh BSK. Prosedur permohonan apabila bekas suami/ bapa enggan membayar nafkah seperti yang diperintah oleh mahkamah: Bekas isteri/ anak boleh membuat aduan kepada BSK Pegawai BSK akan membuat tindakan lanjut seperti mengadakan sesi runding cara melibatkan kedua-dua belah pihak untuk mendapatkan penyelesaian Jika tiada penyelesaian dicapai, maka kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah akan difailkan di Mahkamah Syariah
Apabila berlakunya perceraian bagi pasangan Islam, terdapat hak-hak serta tuntutan yang telah ditetapkan oleh hukum syarak dan boleh dikemukakan di Mahkamah Syariah. Antara tuntutan dan hak selepas perceraian Islam: Hak menjaga dan mengurus anak bawah umur (umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan) selepas perceraian. Hak penjagaan anak bergantung kepada kelayakan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan mengikut Akta / Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Tanggungjawab bapa dalam perbelanjaan sara hidup kepada anak-anak, termasuk makan minum, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan. Nafkah yang diberikan oleh bekas suami kepada isteri sepanjang tempoh iddah (3 kali suci bagi wanita tidak hamil). Pampasan atau saguhati kepada bekas isteri yang diceraikan. Tuntutan ke atas harta yang diperoleh bersama sepanjang tempoh perkahwinan. Rujukan: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
Rujuk bermaksud kembalinya suami kepada isteri dalam tempoh ‘iddah selepas talak raj’i (talak 1 atau talak 2), tanpa memerlukan akad nikah baru. Rujuk hanya boleh dilakukan jika perceraian adalah talak 1 atau 2. Tidak boleh rujuk bagi penceraian talak 3, melalui hakam, fasakh, janda berhias (isteri yang berkahwin tetapi tidak disetubuhi) atau selepas tamat ‘iddah. Prosedur rujuk Pasangan boleh memohon pendaftaran rujuk di pejabat Agama Pengesahan di Mahkamah Syariah Permohonan rujuk akan dikemukakan ke Mahkamah Syariah untuk: Pengesahan lafaz rujuk oleh suami Memastikan rujuk dibuat dalam tempoh ‘iddah Pendaftaran Rujuk Selepas pengesahan mahkamah, Pejabat Agama akan mengeluarkan Sijil Rujuk. Anda juga boleh memohon pendaftaran rujuk menerusi portal SPPIM. Prosedur pendaftaran rujuk adalah berbeza mengikut negeri.
Secara ringkasnya, perceraian pasangan Islam terbahagi kepada beberapa jenis. Talak : Lafaz cerai oleh suami. Talak satu dan dua boleh dirujuk semula dalam tempoh iddah Cerai tebus talak (khuluk) : Isteri memohon cerai dengan membayar pampasan kepada pihak suami Fasakh : Cerai yang diputuskan oleh mahkamah atas sebab-sebab tertentu seperti penderaan, suami hilang, atau tidak memberi nafkah Taklik : Cerai berdasarkan syarat yang dilafazkan selepas akad nikah Li’an : Suami menuduh isteri berzina dan bersumpah menolak anak di dalam kandungan sebagai anaknya Sumber: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
