Kesihatan Ibu dan Wanita
Penjagaan kesihatan sebelum hamil adalah penting bagi ibu dan anak yang bakal lahir. Kesihatan pra-kehamilan boleh dicapai dengan intervensi awal, gaya hidup sihat serta pemantauan risiko kesihatan. Kesihatan pra kehamilan wanita di bawah KKM Saringan kesihatan wanita Tujuan saringan dijalankan bagi memastikan tahap kesihatan yang optimum untuk hamil dan mengenal pasti risiko kesihatan wanita. Saringan kesihatan termasuk: Pemeriksaan tekanan darah Paras gula Berat badan Indeks Jisim Badan (BMI) Kesihatan mental Kaunseling pra kehamilan Kaunseling pra kehamilan berkaitan pemakanan, pengambilan asid folik, amalan hidup sihat (elak rokok, alkohol, dadah) dan pengurusan tekanan. Pengesanan penyakit kronik dan rawatan awal Penyakit seperti kencing manis (diabetes), darah tinggi (hipertensi), kurang darah (anemia) dan asma perlu dirawat sebelum kehamilan untuk memastikan tiada komplikasi kehamilan. Pemberian asid folik Pengambilan asid folik sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil dapat mencegah kecacatan tiub saraf pada bayi seperti spina bifida. Pendidikan kesihatan reproduktif Penerangan tentang sistem reproduktif lelaki dan wanita serta kitaran haid.
Jika anda mengesyaki anda hamil dengan tanda-tanda seperti berikut: Lewat atau tidak datang haid Loya atau muntah Lesu Pening kepala Perubahan emosi Anda boleh mengesahkan kehamilan dengan membuat sendiri ujian kehamilan (alat ujian kehamilan boleh didapati di farmasi) atau hadir terus ke klinik kesihatan. Sekiranya anda disahkan hamil, anda disarankan untuk mendaftar kehamilan seawal mungkin di klinik kesihatan kerajaan yang berhampiran. Pendaftaran awal membolehkan pemantauan berkala terhadap kesihatan ibu dan perkembangan kandungan secara menyeluruh. Langkah-langkah mendaftar kehamilan: Pilih klinik kesihatan terdekat Anda boleh pergi ke mana-mana klinik kesihatan yang terdekat. Pemeriksaan awal Antara pemeriksaan awal yang dibuat termasuk: Ujian kehamilan akan dibuat semula (jika belum ada pengesahan klinikal) Bacaan tekanan darah, nadi, tinggi, berat badan dan BMI Ujian air kencing dan darah iaitu HIV, Hepatitis B, sifilis dan hemoglobin. Ujian imbasan ultrabunyi ( ultrasound ) Pemeriksaan fizikal Pendaftaran buku rekod kesihatan ibu hamil (Buku Pink) Buku ini akan digunakan sepanjang kehamilan dan perlu dibawa ke mana-mana termasuk lawatan susulan ke klinik atau hospital.
Tempoh kehamilan adalah fasa penting dalam kehidupan seorang wanita kerana ia melibatkan perubahan fisiologi yang ketara serta memerlukan penjagaan rapi bagi menjamin kesihatan ibu dan perkembangan bayi yang sihat. Perkhidmatan yang disediakan oleh KKM bagi ibu hamil: Pendaftaran awal kehamilan Ibu hamil disarankan mendaftar kehamilan di Klinik Kesihatan Kerajaan sebelum usia kandungan 12 minggu. Pemeriksaan antenatal berkala Pemantauan tekanan darah, ujian air kencing, berat badan, ujian darah, pemeriksaan fizikal dan perkembangan bayi. Pemberian suplemen Asid folik, zat besi, dan multivitamin diberikan secara percuma untuk mencegah anemia dan memastikan tumbesaran bayi yang sihat. Saringan penyakit Ujian untuk HIV, hepatitis B, sifilis, kencing manis dan darah tinggi. Vaksinasi Suntikan vaksin tetanus dan difteria diberikan bagi melindungi ibu dan bayi daripada jangkitan kancing gigi dan batuk kokol. Pendidikan dan kaunseling Pendidikan tentang penyusuan susu ibu, senaman semasa hamil, persediaan bersalin, kelahiran selamat, penjagaan selepas bersalin dan penjagaan bayi.
Tempoh kehamilan matang adalah usia kandungan antara 37 hingga 40 minggu. Antara tanda-tanda kelahiran adalah: Kontraksi rahim Keluar sedikit lendir bercampur darah dari faraj Pecah air ketuban Sekiranya salah satu tanda ini dialami, ibu perlu segera ke hospital untuk kelahiran selamat.
Penjagaan ibu selepas bersalin adalah fasa kritikal dalam proses pemulihan fizikal dan emosi. Suami perlu memberi sokongan emosi kepada isteri dalam tempoh berpantang bagi mengelakkan isteri kemurungan ( postpartum blues ). Jururawat akan membuat lawatan ke rumah secara berkala selepas bersalin (penjagaan postnatal). Ibu juga perlu membuat pemeriksaan di klinik kesihatan sebulan selepas bersalin. Antara pemeriksaan kesihatan yang dilakukan adalah: Bacaan tekanan darah, nadi, tinggi, berat badan & BMI. Ujian air kencing dan hemoglobin Pemeriksaan fizikal
Susu ibu merupakan makanan terbaik dan paling sempurna bagi bayi kerana ia mengandungi semua nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan fizikal, perkembangan otak, dan pembentukan sistem imun yang kuat. Saranan KKM berkaitan penyusuan susu ibu Penyusuan eksklusif 6 bulan pertama Bayi hanya diberi susu ibu tanpa sebarang makanan atau minuman tambahan, termasuk air kosong. Penyusuan diteruskan sehingga 2 tahun Selepas 6 bulan, makanan pelengkap diperkenalkan secara berperingkat tetapi susu ibu masih diteruskan.
Di Malaysia, kanser payudara dan kanser pangkal rahim (kanser serviks) merupakan antara kanser yang banyak dihidapi oleh wanita. Kanser ini boleh dikesan awal dengan saringan berkala. 1. Kanser payudara Risiko meningkat dengan beberapa faktor, antaranya ialah umur, sejarah keluarga dan gaya hidup tidak sihat Saringan: Pemeriksaan payudara sendiri, pemeriksaan klinikal payudara, ujian ultrabunyi ( ultrasound ) dan ujian mamogram Saringan ditawarkan di fasiliti seperti KKM, LPPKN dan klinik-klinik swasta. 2. Kanser serviks (kanser pangkal rahim) Antara penyebab utama ialah jangkitan virus Human Papillomavirus (HPV) Saringan: Ujian Pap smear dan Ujian HPV DNA ditawarkan di fasiliti seperti KKM, LPPKN dan klinik-klinik swasta Pencegahan: Mengamalkan hubungan seksual yang selamat dan vaksinasi HPV Rujukan: LPPKN
Wanita digalakkan menjalankan pemeriksaan klinikal payudara (PKP) di semua fasiliti kesihatan mulai usia 30 tahun dan ke atas. Mereka yang didapati berisiko akan dirujuk ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan mamogram. Bagi wanita yang dikesan abnormal semasa pemeriksaan PKP, mereka akan dirujuk ke klinik pakar bedah untuk siasatan lanjut.
Apakah mamogram? Mamogram ialah sejenis ujian pengimejan sinar-X ke atas payudara yang digunakan untuk mengesan tanda-tanda awal kanser payudara. Ia adalah kaedah saringan paling berkesan dan terbukti secara klinikal untuk mengesan kanser payudara pada peringkat awal iaitu sebelum gejala timbul. Program Subsidi Ujian Mamogram dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Ujian mamogram (saringan kanser payudara) Disasarkan kepada wanita berumur 40 hingga 70 tahun. Keutamaan diberikan kepada wanita yang berisiko tinggi. Diberikan secara subsidi atau percuma, bergantung kepada pendapatan isi rumah (kurang daripada RM10,000 sebulan). Dilakukan di pusat panel mamogram berdaftar dengan LPPKN. Pemohon boleh menghubungi atau menghadirkan diri ke Klinik Nur Sejahtera yang berdekatan atau daftar di portal eMamogram.
Program saringan kanser serviks (Ujian HPV DNA) adalah bantuan subsidi di bawah Belanjawan 2025 yang disediakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Ia diberikan kepada wanita yang layak untuk melakukan pengesanan awal melalui ujian HPV DNA bagi mencegah berlakunya kanser serviks. Ujian HPV DNA (saringan kanser serviks) Disasarkan kepada wanita berumur 30 hingga 65 tahun Menggunakan kaedah pengesanan DNA virus HPV berisiko tinggi (lebih tepat berbanding Pap smear) melalui kaedah persampelan sendiri Disediakan secara percuma di Klinik Nur Sejahtera melalui program jangkauan ( outreach) yang terlibat Keputusan ujian membantu mengesan risiko kanser serviks sebelum sel menjadi kanser
Ujian Pap Smear adalah satu kaedah saringan untuk mengesan masalah pra kanser dan kanser dengan mengambil sedikit sampel sel dari pangkal rahim. LPPKN menyediakan perkhidmatan saringan kanser serviks termasuk ujian pap smear di Klinik Nur Sejahtera di seluruh negeri
